Isnin, 1 Mei 2023

Sakti Mona

Sakti Mona ialah nama ular yang selalu merosakkan padi huma orang Minangkabau.

Rakyat Minangkabau mengadap raja baharu mereka iaitu Sang Si Perba dan memohon supaya dia membunuh ular Sakti Mona. Permohonan tersebut adalah kerana rakyat Minangkabau ingin menguji sama ada Sang Si Perba betul-betul berasal dari keturunan anak cucu-cicit Raja Iskandar Zul-Karnain seperti yang diheboh-hebohkan.

Orang Minangkabau selalu gagal membunuh ular Sakti Mona kerana ular tersebut tidak luka sedikit pun walau ditetak atau ditikam dengan senjata.

"..kerana kami tiada dapat membunuh dia; berapa pun kami tetak dan kami tikam, tiada juga ia luka, jangankan matinya."

Sang Si Perba menitahkan hulubalangnya bernama Permasku Mambang untuk membunuh ular Sakti Mona. Sang Si Perba memberinya curik (sejenis parang) Si Mandang Kini iaitu curik yang dibawa dari negeri Dika di dasar laut.

"Pergilah engkau bunuh ular itu dengan curikku ini, matilah olehnya."

Semasa hulubalang Permasku Mambang sampai ke tempat ular Mona Sakti, ular itu sedang berlingkar seperti busut yang besar rupanya. Ular Mona Sakti mula bergerak apabila dia tercium bau manusia dan melihat hulubalang Permasku Mambang menuju ke tempatnya.

Hulubalang Permasku Mambang terus memenggal ular Mona Sakti hingga terputus tiga. Curik Si Mandang Kini sumbing seratus sembilan puluh. Ini manggambarkan betapa kuatnya ular Mona Sakti sehingga sumbing mata curik Sang Si Perba.

Ular Mona Sakti berjaya dibunuh. Rakyat Minangkabau selamat dari gangguan haiwan yang selalu merosakkan padi huma mereka dan mula hidup dengan aman sentosa. Ujian terhadap reputasi Sang Si Perba telah berjaya, walaupun sebenarnya bukan dia yang membunuh ular Sakti Mona. Kejayaan membunuh ular Sakti Mona adalah kejayaan hulubalang Permasku Mambang. Sang Si Perba hanya meminjamkan senjatanya iaitu curik Si Mandang Kini.

Kisah ular Mona Sakti yang diceriterakan dalam Sulalatus Salatin tamat begitu sahaja selepas dia dibunuh oleh Permasku Mambang.

Kisah ular besar tidak asing lagi dalam mitos dan cerita rakyat masyarakat Melayu. Berkemungkinan penyusun Sulalatus Salatin tidak mahu ketinggalan untuk mencantikkan pengisahannya dengan turut memasukkan kisah ular besar ini. Kisah ini juga berkemungkinan diwujudkan untuk menunjukkan legitimasi Sang Si Perba sebagai raja besar berketurunan Iskandar Zul-Karnain.

Kisah raksasa digelar 'ular besar' yang lain dalam masyarakat Melayu lama terdapat dalam buku Malay Kingship in Kedah: Religion, Trade, and Society karangan pegawai tentera British Sherard Osborne yang pernah terlibat dalam perang Kedah pada sekitar tahun 1838. Menurutnya, di kalangan masyarakat Kedah ada kisah pelik tentang seekor haiwan raksasa di Langkawi. Diceritakan oleh seorang penduduk tempatan bahawa 'Ular besar Langkawi' itu menjaga perairan Langkawi dan memakan korban manusia.

Terdapat satu lagi cerita rakyat tentang ular gergasi yang digeruni di Langkasuka, Kedah Tua, Sumatera hingga ke Perak. Ular besar itu bernama Saktimuna. Menurut kisah cerita rakyat tersebut, Permasku Mambang yang dihantar oleh Raja Sang Sapurba menggunakan pedang sakti Cura Simanjakani. Ular raksasa Saktimuna tidak dapat dibunuh oleh Permasku Mambang. Dia hanya berjaya dilukakan sahaja dan dihalau ke utara Kedah Tua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan