- Anak Raja Suran
- Lahir di dasar laut
- Muncul di Bukit Siguntang naik lembu putih
- Dibela oleh pasangan balu Wan Empuk dan Wan Malini
- Diambil dan dibela oleh Demang Lebar Daun
- Jadi raja Tanjung Pura yang baharu
Krysina Pandita ialah salah seorang dari tiga adik-beradik anak-anak Raja Suran yang dilahirkan di negeri Dika di dasar laut. Ibu mereka ialah Puteri Mahtabu'l-Bahri dari kaum Bu Sum iaitu kaum yang tinggal di dasar laut. Datuk mereka ialah raja negeri Dika (negeri di dasar laut) iaitu Aktabu'l-Ard. Bapa mereka iaitu Raja Suran sampai ke negeri Dika di dasar laut melalui kotak kaca yang diturunkan dari pantai negeri Hindi.
Krisyna Pandita ialah saudara yang tengah. Abangnya ialah Nila Pahlawan. Adiknya ialah Nila Utama. Nama-nama mereka ini diberikan sendiri oleh datuk mereka.
Raja Suran meninggalkan mereka bertiga di dasar laut untuk balik ke negeri Hindi semasa mereka berumur tiga tahun. Oleh kerana itulah mereka bertiga tidak tahu siapa bapa mereka yang sebenarnya.
Setelah mereka bertiga meningkat dewasa, datuk mereka iaitu Aktabu'l-Ard menceritakan siapa mereka yang sebenanya dan siapa bapa mereka. Seperti yang telah dipesan oleh Raja Suran, Aktabu'l-Ard menyerahkan mahkota kepada mereka seorang satu, dan melepaskan mereka balik ke dunia manusia di daratan.
Kalau Raja Suran naik ke daratan dengan kuda bersayap, ketiga-tiga adik-beradik ini pula naik lembu putih sahaja.
Mereka muncul jauh di tengah pulau Sumatera di Bukit Si Guntang di kawasan padi huma milik dua orang balu adik-beradik Wan Empuk dan Wan Malini.
Sama ada lembu putih tadi menyelam dari dasar laut dan terbang melayang-layang dari benua Hindi ke Kepulauan Melayu atau menjelma begitu sahaja, tidak dijelaskan oleh Sulalatus Salatin. Ini namanya magik.
Mereka bertiga dipelihara oleh Wan Empuk dan Wan Malini.
Raja Palembang, Demang Lebar Daun mendapat berita kemunculan tiga pemuda misteri yang menunggang lembu putih di Bukit Si Guntang. Dia datang ke rumah Wan Empuk Wan Malini dan membawa balik ketiga-tiga bersaudara tadi ke istana di Palembang.
Lembu putih tunggangan mereka bertiga tadi memuntahkan buih dan dari buih itu muncul seorang lelaki yang siap berpakaian dan terus membaca ciri (mantera). Demang Lebar Daun menamakannya Batala (iaitu 'orang yang membaca ciri'.)
DalamSulalatus Salatin versi Shellabear, Krisyna Pandita dikahwinkan oleh Batala dengan Wan Malini.
Rakyat Tanjung Pura telah datang mengadap Demang Lebar Daun. Raja mereka telah meninggal dunia. Oleh itu mereka memohon salah seorang dari tiga beradik keturunan Iskandar Zul-Karnain diberi kepada mereka untuk dijadikan raja.
Demang Lebar Daun memberikan Krisytina Pandita kepada mereka untuk menjadi Raja Tanjung Pura yang baharu.
Ceritera tentang Krisytina Pandita habis di situ.
Maka dilihat oleh Wan Empuk dan Wan Malini di atas tanah yang menjadi emas itu ada tiga orang lelaki muda teruna, muda wangsa, duduk di atas lembu putih seperti perak, lengkap ketiganya itu memakai pakaian anak raja-raja yang bertatahkan ratna mutu manikam; memakai mahkota ketiga, terlalu sekali elok parasnya. Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun hairan tercengang-cengang melihat paras sikapnya orang muda ketiga itu; seorang memegang curik dan satu kayu yang bercap di tangannya, seorang memegang lembing dan seorang memegang pedang, sekaliannya daripada keemasan.