Wan Empuk dan Wan Malini adalah dua orang balu yang tinggal bersama di Bukit Si Guntang di Palembang. Pekerjaan mereka ialah menanam padi huma. Mereka hidup terpencil dari masyarakat lain dan kawasan mereka itu tidak tidak pernah disinggahi oleh mana-mana orang lain. Bukit Si Guntang yang menjadi kampung halaman mereka itu terletak di Sungai Melayu dalam negeri Palembang di Tanah Andalas. Kedudukannya adalah di tengah-tengah Pulau Sumatera sekarang ini.
Pada suatu malam mereka melihat ke bukit tempat tanaman padi huma mereka.
| Wan Empuk: |
Cahaya apa gerangan di Bukit Si Guntang itu? Bernyala seperti cahaya matahari terbit kelihatan. Takut pula beta melihat dia. |
| Wan Malini: | Janganlah kita ingar-ingar, jikalau gemala naga besar gerangan itu. |
Namun mereka takut untuk pergi melihatnya kerana hari telah malam dan mereka tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku. "Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun diamlah dengan takutnya, lalu keduanya tidur."
Pada keesokan harinya mereka berdua pergi ke kawasan padi mereka dan didapati warna tanah di situ telah berubah menjadi warna keemasan. Pokok-pokok padi mereka pula berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan suasa.
Mereka juga menemui "tiga orang lelaki muda teruna, muda wangsa, duduk di atas lembu putih seperti perak, lengkap ketiganya itu memakai pakaian anak raja-raja yang bertatahkan ratna mutu manikam; memakai mahkota ketiga, terlalu sekali elok parasnya."
Salah seorang dari mereka berkata:
| "Adapun kami ini bukan daripada jin dan peri, dan bukan kami daripada bangsa indera; bahawa adalah bangsa kami ini daripada manusia. Asal kami daripada anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain, dan nasab kami Raja Nusyirwan Adil, raja masyrik dan maghrib, pancar kami daripada Raja Sulaiman 'alaihi s-salam, dan nama kami Nila Pahlawan, dan yang seorang ini Krisyna pendita, dan yang seorang Nila Utama; dan nama curik kami ini Si Mandang Kini, dan kayu ini Cap Kerupa namanya, dan pedang ini Badram Balawa namanya, dan lembing ini Lembuara namanya. |
Setelah bersoal-jawab dengan panjang lebar umpama temuduga semasa mencari kerja, akhirnya Wan Empuk dan Wan Malini percaya pada semua cerita dan keterangan tiga orang pemuda tadi. Wan Empuk dan Wan Malini membawa mereka bertiga balik ke rumah dan tinggal bersama. Wan Empuk dan Wan Malini menjadi kaya kerana hasil padi huma mereka yang telah menjadi emas.
Kisah Wan Empuk dan Wan Malini mendapat anak raja di Bukit Si Guntang sampai ke pengetahuan Demang Lebar Daun. Cerita orang menjadi kaya akan cepat tersebar. Cerita orang yang miskin akan kekal terpinggir.
Demang Lebar Daun pergi ke Bukit Si Guntang dan membawa balik tiga bersaudara tadi dengan lembu putih mereka sekali untuk tinggal di Palembang.
Pengakhiran kisah Wan Empuk dan Wan Malini
Kisah Wan Empuk dan Wan Malini dalam Sulalatus Salatin versi A.Samad Ahmad tamat di situ sahaja. Tiada gambaran sama ada dua orang balu ini dibawa bersama ke Palembang atau terus tinggal menanam padi huma di Bukit Si Guntang.
Namun dalam Sulalatus Salatin versi-versi lain (ada 32 versi di seluruh dunia), Wan Empuk dan Wan Malini berkahwin dengan anak-anak Raja Suran tiga bersaudara itu.
Dalam versi Shellabear, diceriterakan yang Wan Empuk dikahwinkan dengan Nila Pahlawan manakala Wan Malini dikahwinkan dengan Krisyna Pandita. Mereka dikahwinkan oleh Batala iaitu makhluk yang muncul dari buih muntah lembu putih tunggangan anak-anak Raja Suran.
Dalam versi Abdullah pula diceriterakan yang Wan Empuk dikahwinkan dengan Nila Pahlawan manakala Wan Malini dikahwinkan dengan Kama Pandita.
Dalam versi A.Samad Ahmad yang digunakan dalam blog ini, anak-anak Raja Suran menggunakan panggilan embuk (emak) kepada Wan Empuk dan Wan Malini. Dalam verisi R.O. Winstedt pula mereka menggunakan panggilan "Hai ibuku.." Ini menunjukkan yang Wan Empuk dan Wan Malini adalah balu yang sudah berusia. Oleh itu agak kurang sesuai kalau mereka berkahwin dengan anak-anak Raja Suran yang masih teruna.
Seterusnya dalam versi Shellabear dan Abdullah ada ceritera tambahan iaitu selepas perkahwinan mereka dengan pasangan masing-masing, "Maka daripada anak cucu merekalah digelar oleh Sang Si Perba, yang laki-laki dinamai baginda Awang, dan yang perempuan dipanggil baginda Dara; itulah asalnya perawangan dan perdaraan."
- Perawangan - amalan memakai nama Awang (bagi jejaka)
- Perdaraan - amalan memakai nama Dara (bagi wanita)
Foto dari Muzium dan Galeri Melaka. Sekadar imaginasi pelukis. Petani padi huma tidak akan berpakaian seksi seperti itu.
Kosa Kata:
curik - sejenis pisau atau parang
gemala - batu bercahaya yang mempunyai hikmat (berasal dari ular, naga)
ingar-ingar - bising-bising



Tiada ulasan:
Catat Ulasan