Rabu, 5 April 2023

China tua di Temasik

China tua dari benua China yang dihantar ke Temasik dalam sebuah pilau. Dia dan rakan-rakannya dihantar ke Temasik atas arahan Perdana Menteri China. Mereka diberi pesanan khas oleh Perdana Menteri China.

Mereka dihantar ke Temasik dengan muslihat khas Perdana Menteri. Ini kerana sebelum itu orang China telah mendengar berita kemaraan bala tentera Benua Keling untuk menyerang mereka. Mereka sedar yang mereka tidak mampu menghadapi tentera Keling pimpinan Raja Suran yang hebat dan yang telah melanggar semua kerajaan yang mereka jumpa. Perdana Menteri China mencadangkan satu muslihat untuk menahan serangan tentera Raja Suran.

Perdana Menteri China itu mengarahkan supaya disediakan sebuah pilau yang terbesar yang diisi dengan jarum-jarum yang sudah berkarat, pohon kesmak yang berbuah, dan dipilih orang yang tua-tua sudah tanggal giginya, dan diarahkan untuk belayar ke Temasik.

Berita tentang pelayar China berada di Temasik telah sampai ke pengetahuan Raja Suran yang juga berada di Temasik pada masa itu. Raja Suran dan bala tenteranya berhenti seketika di Temasik sebelum menyambung kemaraan mereka untuk pergi menyerang negeri China. Raja Suran menghantar orangnya untuk bertanya kepada orang tua China itu.

"Pergilah engkau tanya pada China itu, berapa lagi jauhnya negeri China dari sini."

Apabila ditanya oleh orang Raja Suran tadi, orang China tua itu menjawab:

"Tatkala kami keluar dari benua China, sekalian kami-kami ini sedang muda-muda belaka, baharu dua belas tahun umur kami, dan segala buah-buahan ini bijinya kami tanam, kami pun tualah, gigi kami semua pun habis tanggal; segala buah-buahan yang kami tanam itu berbuahlah, baharulah kami sampai ke mari."

Orang tua China itu mengambil jarum-jarum dalam pilaunya untuk ditunjukkannya pada Keling itu dan menyambung lagi:

"Besi ini kami bawa ke mari dari benua China seperti lengan besarnya, sekarang inilah tinggalnya habis haus; demikianlah peri lamanya kami di jalan, tiadalah kami tahu akan bilangan tahunnya."

Apabila cerita orang tua China tadi disampaikan kepada Raja Suran, dia pun berkata:

"Jikalau seperti kata China itu, terlalulah jauhnya benua China itu; manakalakah kita sampai ke sana? Baik kita kembali."

Raja Suran pun membatalkan hasratnya untuk menyerang negeri China. Dia berpatah balik ke benua Keling. Negeri China terselamat dari serangan tentera Keling. Semuanya kerana muslihat orang China telah berjaya dan Raja Suran telah tertipu.

Kosa kata

pilau - perahu besar

pohon kesmak - pokok kesemek iaitu sejenis mangga yang pada masa itu hanya boleh diperolehi di negeri China

Tiada ulasan:

Catat Ulasan