Isnin, 3 April 2023

Batala keturunan muntah lembu putih

"Dengan takdir Allah taala, maka lembu kenaikan baginda itu pun muntahkan buih, maka keluar daripada buih itu seorang manusia lelaki, hadir dengan pakaiannya, serta ia berdiri membaca ciri (mantera). Maka oleh Demang Lebar Daun dinamainya "Batala", ertinya orang yang membaca ciri. Daripada anak cucu Batala itulah asal orang membaca ciri dahulukala."

Batala ialah manusia ajaib. Dia muncul dari buih-buih yang dimuntahkan oleh lembu. Dia 'dilahirkan' siap dengan pakaian, terus menjadi orang dewasa dan terus membaca mantera. Tidak salah kalau nak anggap yang buih muntah lembu ialah bapanya, manakala lembu putih dari negeri Dika di dasar laut itu mungkin datuknya.

Batala 'dilahirkan' di negeri Palembang. Lembu putih negeri Dika yang membawa anak-anak Raja Suran muncul di Bukit Si Guntang. Selepas itu barulah Demang Lebar Daun datang mengambil mereka dan membawa mereka tinggal di negeri Palembang. Setelah sampai di Palembang, barulah lembu putih tadi memuntahkan buih dan melahirkan Batala.

Ciri (mantera) yang dibacakan oleh Batala setelah dia muncul dari muntahan lembu ialah:

Ahusta Paduka Seri Maharaja serta Seri Sepah Buana suran bumi boji bala pikrama nakalang kama makuta dan Menteri Buana prasama Sakritbana Tanggadarma dan busaya kuta dan singgahsana ranawikrama dan Rawanaba Palawikasad dadi prabu di kala mula mali mala ka Seri Darma Rajadiraja, Raja Permaisuri.

Terjemahan: (maka) segera berdiri (terjelma) Paduka Seri Maharaja (terpancar) Seri Sapta Buana (putera dari tujuh petala bumi) sebagai raja (di) bumi (maka) olehnya kerana mahkota dan Menteri Buana bersama-sama Sakaritabana Tanggadarma dan duduk (di) kota dan (naik) (takhta) singgahsana (yang gagah) dan dewa Rawanaba, Palawikasad jadi raja di waktu mula pulih (menjadi) raja, di sana (terdapat) Seri Darma Raja Adi Raja, Raja Permaisuri.

Walaupun Batala dilahirkan dengan cara ajaib, dia kekal menjadi manusia biasa selepas itu tanpa apa-apa kuasa sakti. Kepakarannya hanyalah membaca ciri. Keturunannya terus menerus menjadi orang yang membaca ciri dalam acara adat-istiadat dan acara-acara rasmi raja-raja. Antaranya, Batala mengahwinkan Raja Kecil Besar dengan Puteri Nila Pancadi.

Semasa perkahwinan Seri Teri Buana dengan anak Demang Lebar Daun yang bernama Raden Ratna Cendera Puri, Batala menjadi tukang membuat panca persada tujuh belas pangkat serta dengan alat perhiasannya, terlalu indah perbuatannya.

Dalam Sulalatus Salatin versi Shellabear dan versi Abdullah Munchi, Batala telah mengahwinkan dua orang anak Raja Suran dengan Wan Empuk dan Wan Malini. Ceritera ini tidak ada dalam versi A.Samad Ahmad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan