Isnin, 3 April 2023

Lembu putih negeri bawah laut

Seekor lembu yang amat putih seperti perak yang berkilat tapi tak bernama yang menjadi milik Raja Aktabu'l-Ard di negeri Dika iaitu negeri di bawah laut.

Lembu putih ini diberikan oleh Raja Aktabu'l-Ard kepada anak-anak Raja Suran iaitu Nila Pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila Utama sebagai kenderaan untuk mereka balik ke dunia manusia di permukaan bumi.

Raja Suran yang menjadi menantu Raja Aktabu'l-Ard telah lama balik ke dunia manusia menggunakan kuda semberani jantan (kuda bersayap). Pada masa itu, anak-anaknya yang bertiga itu berumur kurang dari tiga tahun.

"Maka ketiga anak raja itu pun naiklah ke atas lembu itu lalu berjalanlah keluar." Lembu putih itu muncul pada waktu malam di atas Bukit Si Guntang di Palembang di kawasan padi huma (padi bukit) kepunyaan Wan Empuk dan Wan Malini.

Kemunculan lembu putih dan anak-anak Raja Suran menyebabkan kawasan tersebut "...bernyala seperti cahaya matahari terbit kelihatan" bila dilihat dari jauh. Cahaya tersebut dapat dilihat oleh Wan Empuk dan Wan Malini dari rumah mereka.

Pada keesokan harinya apabila Wan Empuk dan Wan Malini pergi menyiasat kawasan padi huma mereka yang bercahaya semalam itu, didapati tanahnya telah bertukar warna keemasan manakala pokok-pokok padinya berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan suasa.

Mereka menemui lembu putih dengan tiga orang teruna lengkap berpakaian anak raja-raja yang bertatahkan ratna mutu manikam dan memakai mahkota. Mereka masih berada belakang lembu putih tadi dan tidak turun-turun sejak semalam. Lembu putih itu memang kuat.

Setelah diambil oleh Demang Lebar Daun dan dibawa ke istana, lembu putih negeri Dika itu memuntahkan buih dan daripada buih itu keluar seorang manusia lelaki yang siap berpakaian dan dia berdiri sambil membaca ciri (mantera).

Kisah si lembu putih tamat di situ sahaja dan Sulalatus Salatin tidak memberinya nama atau menceritakan apa kesudahan nasibnya. Mungkin terus dibela dan beranak pinak, atau mungkin telah selamat manjadi daging korban.

Namun lembu putih tersebut tersangat sakti. Walaupun lembu ini tidak bersayap seperti kuda semberani jantan tunggangan Raja Suran, dia boleh menyelam dan muncul ke tempat yang jauh lebih jauh dari jarak yang diharungi oleh kuda tersebut. Jarak benua Hindi dengan pulau Sumatera adalah sangat jauh. Lembu ini juga boleh memuntahkan manusia yang telah dewasa yang sudah boleh membaca mantera walaupun tak sempat masuk sekolah.

Pengaruh agama Hindu sangat kuat dalam ceritera lembu putih ini. Dalam agama Hindu, lembu adalah haiwan suci. Kemunculan anak Raja Suran tiga bersaudara di atas lembu putih adalah jelas ceritera yang berilhamkan pengaruh Hindu. Malah dalam Sejarah Melayu versi yang lain (ada 32 versi sebenarnya) nama-nama anak Raja Suran adalah Bicitram (Sri Nila Pahlawan, Sang Sapurba), Sri Krishna Pandita (Sang Maniaka) dan Sri Nila Utama (Nilatanam). Jelas semuanya adalah nama-nama Hindu.

Dewa Siva dan lembu putih Nandini yang setia. Lembu adalah haiwan suci dalam agama Hindu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan