Raja Aktabu'l-Ard ialah raja kaum Du Sum di negeri Dika iaitu negeri di dasar laut. Dia beragama Islam. Dia ditemui oleh Raja Suran yang sampai ke negeri di dasar laut tersebut menggunakan peti kaca.
Raja Aktabu'l-Ard menaikkan Raja Suran ke atas takhta. Dia juga mengahwinkan anaknya, Puteri Mahtabu'l-Bahri dengan Raja Suran. Setelah Raja Suran mendapat anak, Raja Aktabu'l-Ard yang menamakan mereka Nila Pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila Utama.
Apabila Raja Suran ingin balik ke dunia manusia, Raja Aktabu'l-Ard meminjamkan kuda semberani jantan miliknya bernama Farasu'l-Bahri. Kuda inilah yang membawa Raja Suran balik ke permukaan laut di dunia manusia.
Sepeninggalan Raja Suran, Raja Aktabu'l-Ard membela ketiga-tiga anak Raja Suran sehinggalah mereka meningkat dewasa.
Setelah meningkat dewasa, ketiga-tiga anak Raja Suran tadi bertanya kepada datuk mereka, Raja Aktabu'l-Ard tentang bapa mereka. Raja Aktabu'l-Ard menjawab:
"Adalah akan ayahmu itu anakcucu Raja Iskandar Zul-Karnain, nasab Sulaiman 'alaihi s-salam, pancar Nusyirwan Adil, raja masyrik dan maghrib. Maka adalah pesan ayahmu apabila tuan Hamba besar, disuruhnya hantarkan ke dunia. Sekarang kembalilah tuan ke dunia." Raja Aktabu'l-Ard memakaikan mereka bertiga dengan alat kerajaan dengan selengkap pakaian anak raja-raja, yang bertatahkan ratna mutu manikam.
Dia juga menyerahkan sebuah mahkota pada setiap seorang seperti mana yang dipesan oleh Raja Suran.
Raja Aktabu'l-Ard turut memberi mereka seekor lembu yang amat putih, seperti perak yang terupam (berkilat) warnanya. Maka ketiga anak raja itu pun naiklah ke atas lembu itu lalu berjalanlah keluar. Mereka muncul di Bukit Si Guntang pada waktu malam.
Ada tiga makhluk ajaib di negeri Dika di bawah Raja Aktabu'l-Ard.
- Kuda semberani jantan bersayap bernama Farasu'l-Bahri yang membawa Raja Suran naik semula ke dunia di permukaan laut. Kuda ini boleh terbang dan bernafas dalam air, dan berlari-lari di permukaan laut.
- Lembu putih yang membawa ketiga-tiga anak Raja Suran keluar dari negeri Dika di dasar laut dan muncul di Bukit Si Guntang. Lembu ini memuntahkan manusia.
- Raja jin laut Asmaghiah Peri yang membantu Raja Suran untuk mendapatkan tiga mahkota untuk ketiga-tiga anaknya. Raja jin ini dengan mudah mengambil mahkota-mahkota itu dari perbendaharaan Raja Sulaiman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan