Maka segala rakyat pun naiklah menebas; sekonyong-konyong melintas seekor binatang maha tangkas lakunya, merah warna bulu tubuhnya, kehitam-hitaman kepalanya, dan putih dadanya; sikapnya terlalu perkasa, besar sedikit daripada kambing randuk.
Setelah ia melihat orang banyak itu, lalu ia melompat, ghaib daripada mereka itu.
Maka titah Seri Teri Buana, "Apa nama binatang yang serupa itu?" Maka seorang pun tiada menyahut.
Maka sembah Demang Lebar Daun, "Tuanku, ceritera orang patik dengar, yang demikian sifat dan kelakuan binatang itu, singa konon namanya, tuanku."
Maka titah baginda, "Patutlah kita perbuat negeri tempat ini, kerana binatang gagah ada di dalamnya; dan sebutlah Temasek ini Singapura;" sampailah sekarang disebut orang "Singapura".
Tiada singa di Kepulauan Melayu
Betul. Singa ialah haiwan di Afrika dan India. Tiada singa di Asia Tenggara atau di mana-mana dari berpuluh-puluh ribu pulau di Kepulauan Melayu. Sekarang memanglah ada Asia Tenggara, iaitu singa-singa dalam zoo.
Jadi, apakah haiwan yang dilihat oleh Seri Teri Buana sebenarnya?
Boleh jadi sejenis harimau.
Sejarah versi lain menceritakan yang sampai ke Temasik itu ialah Sang Nila Utama dari Palembang. Dalam bahasa Palembang, singo merujuk kepada sejenis harimau, atau sejenis haiwan lain yang kuat dan hebat.
Berkemungkinan istilah asal yang digunakan dalam hikayat Melayu lama ialah singo (sejenis binatang yang gagah). Namun penterjemah atau penyelidik Sulalatus Salatin menganggap 'singo' itu sebagai 'singa' dan mengeja 'singo' itu menjadi 'singa'.
Ciri-ciri binatang yang dilihat oleh Seri Teri Buana itu tidak langsung menyamai ciri-ciri fizikal seekor singa.
Ini semua adalah teori kemungkinan. Tapi yang pasti, haiwan yang dilihat oleh Seri Teri Buana / Sang Nila Utama itu bukanlah seekor singa.
Pengaruh agama dan kepercayaan Hindu amat kuat dalam Sulalatus Salatin. Boleh jadi juga binatang yang dikatakan oleh Demang Lebar Daun kononnya singa itu adalah ilham dari tiang singa Asoka di India.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan