Maka adapun akan Raja Kida Hindi itu ada beranak seorang perempuan, terlalu baik parasnya, tiada berbagai lagi dan tiada taranya masa itu, cahaya mukanya gilang-gemilang seperti cahaya matahari, dan amat bijaksananya dan sempuma budinya; Puteri Syahrul-Bariyah namanya.
Puteri Syahrul-Bariyah dari negeri Hindi ialah isteri Raja Iskandar Zul-Karnain. Bapanya ialah Raja Kida Hindi yang sebelum itu telah ditawan oleh Raja Iskandar Zul-Karnain, diajak masuk Islam, dan dibebaskan semula.
Raja Kida Hindi sendiri yang menawarkan Puteri Syahrul-Bariyah untuk diperisterikan oleh Raja Iskandar. Nabi Khidir menjadi wali perkahwinan. Malah Nabi Khidir juga yang menjadi jurunikah. Mas kahwinnya ialah 300 ribu dinar.
Puteri Syahrul Bariyah mengikut Raja Iskandar Zul-Karnain menuju ke arah matahari hidup (dunia sebelah timur) untuk melihat matahari terbit. Setelah selesai pengembaraan tersebut, Raja Iskandar Zul-Karnain singgah semula di negeri Hindi sebelum meneruskan perjalanan. Pada masa itulah Raja Kida Hindi memohon supaya Puteri Syarul-Bariyah tak payah mengikut suaminya. Sebaliknya tinggal terus di negeri Hindi bersama-samanya. Raja Iskandar bersetuju dengan permintaan tersebut.
"Setelah itu maka dipalu oranglah gendang berangkat dan ditiup oranglah nafiri alamat Raja Iskandar berangkat. Maka baginda pun berangkatlah dari istana, seperti adat dahulu kala, kasadnya hendak menaklukkan segala raja-raja yang belum takluk kepadanya, seperti yang termazkur itu.
Puteri Syahrul-Bariyah terus tinggal di negeri Hindi hingga ke akhir hayatnya. Raja Iskandar pun tidak lagi kembali ke negeri Hindi selepas itu.
Puteri Syahrul-Bariyah melahirkan Aristun Syah. Inilah satu-satunya anaknya hasil perkahwinan dengan Raja Iskandar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan