Selasa, 11 April 2023

Nabi Khidir

Nabi Khidir tinggal di negeri Kida Hindi di benua Hindi. Raja Kida Hindi tersangat ingin bermenantukan Raja Iskandar. Namun dia segan untuk berterus terang. Oleh itu dia meminta tolong Nabi Khidir untuk menjadi orang tengah untuk menyampaikan hasratnya untuk menawarkan anaknya, Puteri Syahrul-Bariyah sebagai isteri kepada Raja Iskandar.

Maka sabda Raja Kida Hindi pada Perdana Menteri, "Insya-Allah Taala, esok hari pergilah tuan Hamba kepada Nabi Khidir, katakanlah oleh tuan Hamba segala perihal ini."

Maka esok harinya, pergilah Perdana Menteri itu kepada Nabi Khidir.

Arakian maka berkatalah Perdana Menteri itu kepada Nabi Khidir alaihissalam, "Ketahui oleh tuan Hamba, ya Nabi Allah, bahawa raja hamba terlalu amat kasihnya akan Raja Iskandar, tiada dapat hamba sifatkan; dan ada ia beranak seorang perempuan, tak dapatlah dikatakan, tiada ada bagainya anak raja-raja dalam alam ini dari masyrik lalu ke maghrib pada rupanya dan budi pekertinya, tiada ada taranya pada masa ini. Adalah raja hamba akan hendak dipersembahkan dia akan isteri Raja Iskandar.

Nabi Khidir pergi mengadap Raja Iskandar dalam suatu majlis dan menyatakan hasrat Raja Kida Hindi tersebut. Raja Iskandar bersetuju.

Maka dikahwinkan Nabi Khidirlah anak Raja Kida Hindi dengan Raja Iskandar atas syariat Nabi Ibrahim Khalilu 'llah, di hadapan segala mereka yang tersebut itu. Maka bangkit berdirilah segala raja-raja dan segala Orang Besar-besar dan para menteri dan hulubalang dan segala pendita dan ulama dan segala hukama menabur akan emas dan perak, dan permata ratna mutu manikam kepada kaki Raja Iskandar, hingga tertimbunlah segala emas dan perak dan ratna mutu manikam itu di hadapan Raja Iskandar, seperti busut dua tiga timbunannya. Maka sekalian harta itu disedekahkan pada segala fakir dan miskin.

Misi Nabi Khidir berjaya. Malah dia sendiri menjadi wali kepada pengantin perempuan di samping menjadi jurunikah.

Watak Nabi Khidir dalam Sulalatus Salatin tamat selepas selesai majlis pernikahan antara Raja Iskandar dengan Puteri Syahrul-Bariyah. Peranannya hanyalah sebagai tukang merisik, wali nikah dan jurunikah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan