Isnin, 10 April 2023

Raja Suran

Dari kalangan keturunan Raja Iskandar Zulkarnain yang menguasai Benua Keling, Raja Suran ialah yang paling terkenal. Beliau ialah anak Tersi Berderas dan cucu Raja Sulan. Dua saudaranya ialah Raja Hiran dan Raja Fandin namun tiada kisah mereka dalam Sulalatus Salatin.

Selepas Raja Sulan meninggal dunia, Raja Suran menjadi pemerintah Amdan Negara yang baru. Kerajaan Amdan Negara di bawah pemerintahan Raja Suran menjadi semakin besar sehingga "segala raja-raja dari masyrik lalu ke maghrib sekaliannya takluk kepada baginda, melainkan negeri China." Ini mendorong Raja Suran untuk pergi menyerang negeri China.

Raja Suran mengumpulkan bala tentera yang sangat besar dan mula berangkat hendak menyerang benua China. Sulalatus Salatin memberi gambaran yang menarik tentang kedahsyatan bala tentera Raja Suran. Kemaraan bala tentera Raja Suran yang besar itu menyebabkan..

  • segala hutan belantara pun habis menjadi padang
  • bumi pun bergentar seperti gerupa,
  • dan gunung pun bergerak
  • segala tanah yang tinggi-tinggi itu pun menjadi rata
  • batu pun habis berpelantingan
  • segala sungai pun habis kering
  • jikalau pada malam yang gelap sekalipun, menjadi terang seperti bulan pumama pada ketika cuaca, daripada kebanyakan kilat cahaya Senjata
  • jikalau halilintar di langit sekalipun tiada kedengaran, daripada kesangatan tempik segala hulubalang dan sorak segala rakyat, bercampur dengan gajah, kuda, tiadalah sangka bunyinya lagi.

Menyerang kerajaan Gangga Negara

Raja Suran menyerang kerajaan Gangga Negara (di Perak sekarang). Raja Gangga Syah Johan terbunuh apabila Raja Suran berjaya memenggal kepalanya hingga terpelanting ke tanah. Selepas itu Raja Suran mengahwini saudara perempuan Raja Gangga Syah Johan bernama Puteri Dara Segangga.

Menyerang kerajaan Langgiu

Bala tentera Keling mara lagi ke selatan dan menakluk wilayah Siam Langgiu (di Johor sekarang). Raja Chulan mati terbunuh apabila Raja Suran berjaya memanah dadanya hingga tembus ke belakang. Selepas membunuh Raja Chulan, Raja Suran mengahwini anak Raja Chulan bernama Puteri Onang Kiu.

Ditipu orang China

Setelah sampai di Temasik, Raja Suran mambatalkan hasratnya untuk menyerang negeri China. Ini kerana dia mendapat tahu dari pelayar China yang singgah di Temasik bahawa negeri China terletak di suatu tempat yang sangat jauh. Pelayar China tadi yang mula belayar semasa masih kanak-kanak kini menjadi sangat tua hingga semua giginya telah tanggal. Batang-batang besi sebesar lengan yang mereka bawa juga telah haus hingga menjadi kecil seperti jarum dan telah pun berkarat. Biji benih pokok yang mereka bawa dari China telah pun tumbuh dan berbuah.

Kata Raja Suran:

"Jikalau seperti kata China itu, terlalulah jauhnya benua China itu; manakalakah kita sampai ke sana? Baik kita kembali."

Maka sembah segala hulubalang, "Benarlah seperti titah Seri Maharaja itu." Raja Suran dan bala tenteranya berpatah balik ke benua Keling tanpa menyedari bahawa mereka telah ditipu.

Masuk ke dasar laut

Raja Suran mula terfikir untuk masuk ke dalam laut kerana dia ingin tahu bagaimana keadaan di sana. "Dan segala isi laut bagaimana gerangan rupanya? Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa halnya."

Raja Suran menyuruh orang buat peti kaca, berkunci dan berpesawat dari dalam dan berantai emas. Dia masuk ke dalam peti tersebut, menguncinya dari dalam dan dihulurkan orang ramai ke dalam laut.

Peti tersebut jatuh ke dalam bumi dan sampai ke negeri Dika yang sangat besar yang didiami oleh kaum Du Sum. Sebahagian dari mereka Islam, sebahagian lagi kafir. Penduduk Dika rasa kagum melihat Raja Suran dan cara dia berpakaian. Mereka membawanya bertemu raja mereka yang bernama Aktabu'l-Ard.

Aktabu'l-Ard:"Orang mana kamu ini? Dan dari mana kamu datang ke mari ini?"
Raja Suran:"Adalah Hamba ini datang dari dalam dunia. Hambalah raja segala manusia, nama Hamba Raja Suran."

Berkahwin dan mendapat anak di dasar laut

Raja Suran berkahwin dengan anak Raja Aktabu'l-Ard bernama Puteri Mahtabu'l-Bahri dan mendapat tiga orang anak lelaki. Raja Aktabu'l-Ard menamakan mereka Nila Pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila Utama.

Mendapat tiga mahkota dari raja jin

Pada suatu hari Raja Suran berasa susah hati apabila memikirkan tentang anak-anaknya dan bagaimanakah masa depan mereka serta bagaimana mereka mahu naik ke dunia. Tiba-tiba raja jin Asmaghiah Peri muncul tanpa dijemput.

Raja Suran:"Apakah kerja tuan hamba ke mari?"
Raja Jin:"Sahaja hamba mengadap."
Raja Suran:"Jika demikian hendaklah tuan Hamba perbuatkan hamba, mahkota tiga biji akan pakaian anak hamba, supaya ada tanda Raja Iskandar Zul-Karnain kepadanya."

Raja Jin Asmaghiah pergi mengambil tiga mahkota dari perbendaharaan Raja Sulaiman dan menyerahkannya kepada Raja Suran. Selepas itu dia ghaib.

Raja Suran membawa mahkota tersebut kepada bapa mentuanya, Raja Aktabu'l-Ard. Dia berpesan supaya hantar anak-anaknya ke dunia di darat apabila mereka sudah dewasa kelak dan berikan sekali mahkota kepada mereka seorang satu.

Keluar dari laut menunggang kuda terbang

Raja Suran memohon kepada Raja Aktabu'l-Ard untuk balik semula ke dunia daratan. Isteri dan anak-anaknya ditinggalkan dalam jagaan bapa mentuanya itu. Raja Aktabu'l-Ard memberi kuda semberani jantan bernama Farasu'l-Bahri untuk membawa Raja Suran naik ke permukaan laut.

Rakyat Raja Suran di pantai Baniras di negeri Hindi melihat raja mereka menunggang kuda di tengah-tengah laut. Mereka membawa seekor kuda betina ke pantai tersebut untuk mengumpan kuda tunggangan Raja Suran supaya datang ke pantai. Usaha mereka berjaya. Kuda semberani jantan tunggangan Raja Suran menghampiri pantai. Selepas Raja Suran turun, kuda semberani jantan itu kembali semula ke negeri Dika.

Raja Suran menitahkan agar diperbuat suatu tanda sebagai bukti dan peringatan yang dia pernah turun ke laut. Tanda itu mestilah kekal hingga kiamat "supaya diketahui dan didengar oleh segala anak cucu kita yang kemudian." Mereka menulis pada suatu batu dalam bahasa Hindustan dan dimasukkan batu-batu permata dan benda-benda ajaib di dalamnya. Kata Raja Suran, "Pada akhir zaman kelak ada seorang daripada anak cucuku juga, ialah beroleh harta ini, dan raja itulah yang menaklukkan segala negeri yang di bawah angin ini.". Selepas itu Raja Suran balik semula ke Amdan Negara di negeri Hindi.

Bina kota baru

Raja Suran memerintahkan untuk dibina kota baru yang dinamakan Bijaya Negara. Antara ciri kota tersebut yang digambarkan oleh Sulalatus-Salatin ialah:

  • Tembok kotanya daripada batu hitam tujuh lapis.
  • Tebal dan tinggi tembok itu sembilan depa.
  • Keluasannya boleh memuatkan tujuh buah gunung.
  • Di tengah kota ada sebuah tasik yang sangat luas seperti laut rupanya. Gajah yang berdiri di sebelah sana tidak kelihatan dari sebelah sini. Disikan dengan segala jenis ikan.
  • Di tengah tasik yang sangat luas tadi ada pulau yang terlalu tinggi yang sentiasa diliputi kabus. Segala jenis binatang liar dilepaskan di situ. Ia menjadi tempat Raja Suran pergi berburu dan menjerat gajah.

Isteri-isteri dan anak-anak Raja Suran

Raja Suran mempunyai tiga orang isteri dan tujuh oang anak. Isteri-isterinya ialah Puteri Dara Segangga (orang Melayu Perak), Puteri Onang Kiu (orang Siam) dan Puteri Mahtabu'l-Bahri (kaum Du Sum dari dasar laut).

Puteri Onang Kiu melahirkan seorang bayi perempuan dan diberi nama Puteri Cendani Wasis. Setelah meningkat dewasa, dia dipinang oleh Raja China untuk anaknya bernama Raja Cu Lan.

Puteri Dara Segangga pula melahirkan tiga orang lelaki yang diberi nama Citram Syah, Paladu Tani, dan Nila Manam. Paladu Tani dirajakan di negeri Amdan Negara, Nila Manam dirajakannya di Bijaya Negara. Citram Syah dirajakannya di negeri Candu Kani. Ketiga-tiga mereka terus hidup di Benua Keling.

Puteri Mahtabu'l-Bahri mendapat tiga orang anak lelaki iaitu Nila Pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila Utama. Tiga beradik anak laut ini kemudiannya naik ke darat dengan menunggang lembu putih dan menjelma di Bukit Si Guntang di Sumatera. Konon hikayat keturunan mereka inilah yang melahirkan raja-raja Melaka.

Keistimewaan Raja Suran

Sulalatus Salatin menggambarkan Raja Suran sebagai orang yang hebat, gagah dan penakluk yang tiada tandingannya. Kehidupannya penuh dengan perkara-perkara ajaib. Misalnya, pengembaraannya ke dunia di dasar laut, berkahwin dengan makhluk yang hidup di dunia bawah laut, menunggal kuda bersayap, naik ke permukaan laut dari bawah laut tanpa bantuan alat pernafasan, bersembang dengan raja jin yang mencuri mahkota untuk anak-anaknya, dan membina kota baru yang besar dan dahsyat. Anak-anak Raja Suran juga tidak kurang ajaibnya. Mereka menunggang lembu putih dari dasar laut hingga muncul di Bukit Si Guntang di Sumatera.

Namun Raja Suran juga ada kualiti kurang cerdik dari segi geografi. Misalnya, untuk menyerang China, dia bergerak menuju jauh ke selatan iaitu suatu tempat yang semakin jauh dari China. Kenapa Raja Suran tidak hanya menyeberang sempadan negeri Hindi untuk terus masuk ke tanah China?

Tentang ceritera Raja Suran tertipu dengan orng China pula tidak dapat dipastikan apakah perkara yang pengarang-pengarang Sulalatus Salatin cuba sampaikan. Mungkin suatu unsur humor. Negeri China hanya terletak bersebelahan Benua Keling. Agak kurang menasabah apabila sang penakluk yang dahsyat seperti Raja Suran tidak ada pengetahuan langsung tentang kedudukan negeri China.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan