Khamis, 27 April 2023

Raden Ratna Cendera Puri

Raden Ratna Cendera Puri ialah anak perempuan Demang Lebar Daun dan isteri kepada Seri Teri Buana yang memerintah Palembang.

Raden Ratna Cendera Puri adalah seorang anak dara istimewa. Ini kerana dia seorang sahaja yang tidak kena kedal (sejenis penyakit kulit) setelah berkahwin dengan Seri Teri Buana. Sebelum itu, semua anak pembesar di Palembang yang berkahwin dengan Seri Teri Buana telah kena kedal pada keesokan harinya selepas beradu (atau selepas 'malam pertama').

Pada asalnya, Demang Lebar Daun menyembunyikan anak daranya itu kerana dia khuatir sekiranya anaknya itu juga akan kena kedal dan akan teraniaya begitu sahaja. Namun Seri Teri Buana mendapat tahu yang Demang Lebar Daun ada seorang anak dara yang cantik jelita. Dia memohon kepada Demang Lebar Daun untuk memperisterikan Raden Ratna Cendera Puri.

Pada masa itulah berlaku perbincangan antara Seri Teri Buana (golongan raja) dengan Demang Lebar Daun (golongan rakyat) yang akhirnya membawa kepada waadat atau sumpah setia antara raja dengan rakyat yang terkenal itu.

Demang Lebar Daun rasa puas hati yang anaknnya kelak tidak akan dimalukan atau teraniaya sekiranya dia juga kedal seperti wanita-wanita yang lain yang telah ditiduri oleh Seri Teri Buana.

Setelah hari malam, Seri Teri Buana pun beradulah dengan Raden Ratna Cendera Puri.

Keesokan paginya didapati Raden Ratna Cendera Puri tidak kena kedal.

Seluruh masyarakat dikerahkan untuk membuat persediaan untuk majlis perkahwinan Raden Ratna Cendera Puri.

  • Maka terlalulah ramai orang berjaga-jaga itu, empat puluh hari empat puluh malam dengan segala bunyi-bunyian
  • Beratus kerbau, lembu, biri-biri, itik, ayam, angsa yang disembelih orang akan makanan segala orang yang bekerja itu; kepala kerbau menjadi tungku, kerak nasi menjadi busut dan air didih menjadi anak sungai.
  • Setelah genap empat puluh hari empat puluh malam, maka Seri Teri Buana dan Raden Ratna Cendera Puri pun dihiasi oranglah dengan segala pakaian yang keemasan, bertatahkan ratna mutu manikam yang gemerlapan.
  • Maka diarak oranglah tujuh kali berkeliling negeri Palembang itu dengan serba bunyi-bunyian, lalu ke istana; maka baginda pun dikahwinkan dengan Raden Ratna Cendera Puri. Maka rupa baginda dua laki isteri itu seperti matahari berkembar dengan bulan dipandang.

Raden Ratna Cendera Puri dan Seri Teri Buana beradu bersama terlebih dahulu. Lebih kurang 40 hari kemudian baharulah mereka berkahwin. Maknanya mereka telah berzina sebelum berkahwin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan