Demang Lebar Daun ialah raja negeri Palembang di Tanah Andalas. Berasal dari keturunan anak-cucu Raja Sulan. Dia ada seorang saudara bernama Demang Mangku Raja.
Demang Lebar Daun mendapat tahu tentang kisah tiga orang anak Raja Suran dibela oleh Wan Empuk dan Wan Malini di Bukit Si Suntang. Deman Lebar Daun pergi mudik ke Bukit Si Guntang dan membawa balik mereka bertiga (Nila Pahlawan, Krisyna pendita, dan Nila Utama) dengan lembu putih tunggangan mereka itu sekali untuk tinggal di Palembang.
Demang Lebar Daun memberi gelaran Sang Si Perba kepada Nila Pahlawan.
Setelah lembu putih tunggangan anak-anak Raja Suran memuntahkan buih dan seorang lelaki yang siap berpakaian dan terus membaca ciri (mantera), Demang Labar Daun memberinya nama 'Batala' yang bermakna 'orang yang membaca ciri'.
Raja Minangkabau bernama Patih Suatang dengan segala pegawai dan rakyat sekaliannya datang ke Palembang. Mereka memohon salah seorang dari tiga adik-beradik anak Raja Suran untuk dijadikan raja baru di Minangkabau. Demang Lebar Daun memberi Sang Si Perba (Nila Pahlawan) kepada mereka. Sang Si Perba dibawa balik ke Minangkabau dan dirajakan di sana.
Raja Tanjung Pura pula meninggal dunia. Orang Tanjung Pura datang mengadap Demang Lebar Daun untuk meminta seorang anak raja untuk ditabalkan menjadi raja baharu mereka. Demang Lebar Daun menyerahkan Krisyna Pandita dengan segala alat kebesarannya kepada orang Tanjung Pura.
Nila Utama tinggal dengan Demang Lebar Daun dan dijadikan raja baru Palembang. Demang Lebar Daun menjadi pemangkunya. Nila Utama memakai gelaran Seri Teri Buana.
Demang Lebar Daun ialah orang yang memulakan adat memanggil raja dengan panggilan hormat duli tuanku, Yang Dipertuan, dan membahasakan dirinya patik.
Demang Lebar Daun mempunyai seorang anak bernama Raden Ratna Candera Puri. Dia merupakan satu-satunya anak pembesar di Palembang yang tidak kena kedal (sejenis penyakit kulit) setelah tidur dengan Seri Teri Buana. Semua anak-anak pembesar Palembang yang lain yang tidur dengan Seri Teri Buana sebelum itu telah kena kedal pada keesokan paginya. Ini menunjukkan bahawa anak Demang Lebar Daun adalah wanita istimewa. Atau mungkin Demang Lebar Daun sendiri adalah dari keturunan yang istimewa.
Pada asalnya Demang Lebar Daun bimbang sekiranya anak perempuannya akan turut kena kedal seperti perempuan-perempuan yang lain yang dikahwini oleh Seri Teri Buana. Jika itu berlaku, anaknya juga akan mendapat malu atau dihalau dari istana. Oleh tu Demang Lebar Daun memberikan beberapa syarat kepada Seri Teri Buana untuk berkahwin dengan anaknya. Asas kepada syarat-syarat itu ialah supaya anaknya tidak dimalukan.
Waadat antara raja dengan rakyat
Demang Lebar Daun meletakkan syarat supaya "segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi (memberi aib)."
Seri Teri Buana pula menuntut supaya: Hendaklah oleh segala anak cucu Hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala Haru ba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga. "
Demang Lebar Daun bersetuju dengan permintaan tersebut, dengan menambah satu lagi syarat iaitu: "jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku."
Seri Teri Buana turut menerima permintaan tersebut tetap dia menambah lagi syarat lain iaitu: "Barang siapa hamba Melayu derhaka mengubahkan perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas."
Demang Lebar Daun pula menambah lagi syaratnya iaitu: "Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan Hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya."
Inilah kandungan perbincangan antara Demang Lebar Daun (kononnya mewakili rakyat biasa) dengan Seri Teri Buana (kononnya mewakli golongan raja) yang membentuk waadat dalam ceritera Sulalatus Salatin. Waadat inilah yang membentuk konsep pantang menderhaka di kalangan masyarakat Melayu pada masa itu.
Apabila Seri Teri Buana ditabalkan menjadi raja di Bintan, Demang Lebar Daun dilantik menjadi Bendahara.
Hanya Demang Lebar Daun kenal haiwan singa
Semasa Seri Teri Buana sampai ke Temasik dan melihat seekor haiwan yang ganjil (maha tangkas lakunya, merah wama bulu tubuhnya, kehitam-hitaman kepalanya, dan putih dadanya; sikapnya terlalu perkasa, besar sedikit daripada kambing randuk), tidak ada siapa pun yang tahu apa haiwan itu kecuali Demang Lebar Daun.
| "Tuanku, ceritera orang patik dengar, yang demikian sifat dan kelakuan binatang itu, singa konon namanya, tuanku." |
Dari keterangan yang diberikan oleh Demang Lebar Daun itu, Seri Teri Buana menamakan tempat itu Singapura. Seri Teri Buana berpindah ke Singapura dan Demang Lebar Daun mengikut sama. Demang Lebar Daun meninggal dunia di Singapura.
Akhir ceritera
Kisah Demang Lebar Daun tamat selepas dia meninggal dunia di Temasik (Singapura). Dia sebenarnya keturunan raja, namun setelah dia mengangkat menantunya menjadi raja, dia jatuh taraf menjadi rakyat. Berkemungkinan penyusun Sulalatus Salatin terlepas pandang hal ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan