Rabu, 29 Mac 2023

Citram Syah

Citram Syah (Tajitram Syah) ialah anak Raja Suran dan Puteri Dara Segangga yang merajuk kerana diberikan negeri yang kecil berbanding dengan adik-adiknya. Dia meninggalkan negerinya untuk pergi belayar dan menakluk negeri-negeri lain di sepanjang pantai Benua Hindi. Akhirnya kapalnya karam dan dia balik semula ke negerinya.

Citram Syah adalah anak sulong dari tiga adik-beradik. Dia dirajakan di negeri Candu Kani. Adiknya, Paladu Tani dirajakan di negeri Amdan Negara. Nila Manam pula dirajakan di negeri Bijaya Negara. Citram Syah merajuk, kerana

"Aku anak yang tua, dirajakannya pada negeri kecil; baiklah aku membuang diriku."

Citram Syah meninggalkan negerinya dan keluar belayar dengan membawa segala alat kerajaan dengan dua puluh buah kapal lengkap dengan alat peperangan. Hasratnya ialah untuk mengalahkan dan menjajah semua negeri di tepi laut.

Beberapa puluh negeri berjaya ditawan.

Pada suatu malam semasa berada di Laut Selbu, ribut taufan turun melanda sehingga kapal-kapalnya pecah dan karam. Sebahagian darinya berjaya balik semula ke negeri Candu Kani. Sebahagian lagi terus hilang di tengah lautan.

Chitram Syah terdampar di kuala sungai Belambang Majut di Tanah Andalas dengan beberapa orang askarnya yang turut terselamat.

Raja Belambang Majut bernama Demang Kebayunan yang sedang berjalan-jalan di pantai bersama-sama pembesarnya telah terjumpa Citram Syah yang sedang duduk di bawah pokok sambil dihadap oleh saki-baki askar-askarnya yang turut terselamat.

Apabila disapa oleh Demang Kebayunan, Citram Syah yang mungkin sedang marah menjawab:

"Adalah hamba ini orang rosak, kena taufan!"

Selepas itu Citram Syah menceritakan semua yang telah menimpanya.

Apabila Demamg Kebayunan mendengar yang Citram Syah adalah anak raja besar, dia dibawa balik ke istana dan dikahwinkan dengan anaknya yang bernama Raden Seridari. Karam dilautan tak bermakna tak akan dapat kahwin dengan puteri raja.

Dari perkahwinan ini, Citram Syah mendapat empat orang anak yang diberi nama Ratna Dewi, Seri Dewi, Maniaka, dan Nila Kama. Seri Dewi dipinang oleh Raja China manakala Ratna Dewi dipinang oleh Ratu Majapahit. Kerana itulah Citram berkata:

"Berhubunglah benua China dan benua Jawa dengan benua Keling."

Tidak lama kemudian rakyat Canda Kani mendengar berita yang raja mereka telah terselamat dan berada di Tanah Andalas berhampiran Laut Selbu. Mereka datang menjemput Citram Syah dengan rombongan berpuluh-puluh buah kapal. Citram Syah balik semua ke benua Keling dengan kedua-dua anak lelakinya. Dua orang anak perempuannya terus tinggal bersama suami mereka di China dan di Jawa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan