Khamis, 4 Mei 2023

Nila Pahlawan

Nila Pahlawan tiga beradik ialah anak Raja Suran yang dilahirkan di negeri Dika di dasar laut. Ibu mereka ialah Puteri Mahtabu'l-Bahri dari kaum Bu Sum yang tinggal di dasar laut. Datuk mereka, Aktabu'l-Ard ialah raja negeri Dika. Mereka tiga beradik muncul dengan lembu putih di Bukit Si Guntang di Palembang. Dibela oleh mak angkat mereka, pasangan balu Wan Empuk dan Wan Malini. Diambil oleh Demang Lebar Daun. Diberi gelaran Sang Si Perba. Akhirnya menjadi Raja Minangkabau.

  1. Nila Pahlawan ialah saudara yang paling tua. Dua orang adiknya ialah Krisyna Pandita dan Nila Utama. Nama-nama mereka ini diberikan sendiri oleh datuk mereka.

  2. Raja Suran meninggalkan mereka bertiga di dasar laut untuk balik ke negeri Hindi semasa mereka berumur tiga tahun. Oleh kerana itulah mereka bertiga tidak tahu siapa bapa mereka yang sebenarnya.

  3. Setelah mereka bertiga meningkat dewasa, datuk mereka iaitu Aktabu'l-Ard menceritakan siapa mereka yang sebenanya dan siapa bapa mereka. Seperti yang telah dipesan oleh Raja Suran, Aktabu'l-Ard menyerahkan mahkota kepada mereka seorang satu, dan melepaskan mereka balik ke dunia manusia di daratan.

  4. Kalau Raja Suran naik ke daratan dengan kuda bersayap, ketiga-tiga adik-beradik ini pula naik lembu putih sahaja.

  5. Mereka muncul jauh di tengah pulau Sumatera di Bukit Si Guntang di kawasan padi huma milik Wan Empuk Wan Malini.

  6. Sama ada lembu putih tadi menyelam dari dasar laut dan terbang melayang-layang dari benua Hindi ke Kepulauan Melayu atau menjelma begitu sahaja, tidak dijelaskan oleh Sulalatus Salatin. Ini namanya magik.

  7. Maka dilihat oleh Wan Empuk dan Wan Malini di atas tanah yang menjadi emas itu ada tiga orang lelaki muda teruna, muda wangsa, duduk di atas lembu putih seperti perak, lengkap ketiganya itu memakai pakaian anak raja-raja yang bertatahkan ratna mutu manikam; memakai mahkota ketiga, terlalu sekali elok parasnya. Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun hairan tercengang-cengang melihat paras sikapnya orang muda ketiga itu; seorang memegang curik dan satu kayu yang bercap di tangannya, seorang memegang lembing dan seorang memegang pedang, sekaliannya daripada keemasan.

  8. Mereka bertiga dipelihara oleh Wan Empuk dan Wan Malini.

  9. Raja Palembang, Demang Lebar Daun mendapat berita kemunculan tiga pemuda misteri yang menunggang lembu putih di Bukit Si Guntang. Dia datang ke rumah Wan Empuk Wan Malini dan membawa balik ketiga-tiga bersaudara tadi ke istana di Palembang.

  10. Lembu putih tunggangan mereka bertiga tadi memuntahkan buih dan dari buih itu muncul seorang lelaki yang siap berpakaian dan terus membaca ciri (mantera). Demang Lebar Daun menamakannya Batala (iaitu 'orang yang membaca ciri'.)

  11. Demang Lebar Daun memberi gelaran Sang Si Perba kepada Nila Pahlawan.

  12. Raja Minangkabau bernama Patih Suatang dengan rakyat dan pegawai-pegawainya datang menemui Demang Lebar Daun di Palembang. Mereka mahu salah seorang dari tiga beradik keturunan Raja Iskandar Zul-Karnain tadi untuk menjadi raja mereka.

  13. Demang Lebang Daun menyerahkan Sang Si Perba kepada orang Minangkabau tadi. Sang Si Perba dibawa balik ke Minangkabau dan ditabalkan menjadi raja. Patih Suatang turun takhta dan menjadi bendahara sahaja.

  14. "Selama baginda kerajaan di alam Minangkabau itu, maka batang jelatang-ayam pun terlalu besar, diperbuatkan tiang balai baginda; lain daripada anak cucu baginda tiada siapa dapat duduk di sana kegatalan, dan batang saluguri akan baluhan tabuh, dan batang pulut-pulut baluhan gendang, dan ruyung-kayang dapat diperbuatkan tetaran lembing menjadi pagar istana baginda itu; sebab itulah alam Minangkabau itu dinamai 'Pagar Ruyung', yang tersebut datang sekarang."

  15. Pada suatu hari, Orang Besar-besar dan orang tua-tua, yang memegang anak negeri telah berkumpul mengadap bekas raja mereka i"aitu Patih Suatang.

  16. Mereka mahu menguji sama ada Sang Si Perba benar-benar keturunan anak-cucu-cicit Iskandar Zul-Karnain.

  17. "Mari kita cuba dahulu jikalau dapat baginda membunuh ular 'Sakti Mona' yang membinasakan perhumaan kita itu. Jika dapat baginda membunuh dia, kararlah baginda kita pertuan, dan jika tiada dapat, baiklah tuan hamba juga jadi raja kami."

  18. Sang Si Perba memberi curik Si Mandang Kini kepada hulubalangnya yang bernama Permasku Mambang. Ular Mona Sakti berjaya dipenggal tiga hingga mati.

  19. Rakyat Minangkabau berpuas hati. Hulubalang Permasku Mambang dianugerahi persalinan. Sang Si Perba terus memerintah Minangkabau.

Kisah Nila Pahlawan (Sang Si Perba) tamat setelah dia menjadi Raja Minangkabau. Dalam Sulalatus Salatin versi Shellabear, Nila Pahlawan dikahwinkan oleh Batala dengan emak angkatnya, Wan Empuk, manakala Krisyna Pandita dikahwinkan dengan Wan Malini. Dalam versi A. Samad Ahmad, tiada cerita mereka berkahwin.

Menurut catatan manuskrip di arca Amoghapasa, raja Minangkabau pertama ialah Raja Adityawarman. Berkemungkinan Raja Adityawarman ialah Nila Pahlawan dalam Sulalatus Salatin. Berkemungkinan namun tiada kepastian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan