Isnin, 27 Mac 2023

Iskandar Zul-Karnain

A'lam ketahui olehmu, kepada zaman dahulukala, dan pada masa yang telah lalu, kata yang empunya ceritera, bahawa Raja Iskandar, anak Raja Darab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya, Zul-Karnain gelarannya; sekali persetua (pada suatu hari) baginda berjalan hendak melihat matahari terbit (dunia sebelah timur), maka baginda sampai pada suatu bi'at (kawasan), negeri Hindi.

Maka ada seorang raja di tanah Hindi, terlalu besar kerajaannya, setengah negeri Hindi itu dalam tangannya; namanya Raja Kida Hindi. Setelah ia mendengar Raja Iskandar datang, maka Raja Kida Hindi pun menyuruhkan Perdana Menteri menghimpunkan segala rakyat dan raja-raja yang takluk kepadanya. Setelah sudah kampung semuanya, maka dikeluarinyalah (keluar menyerang) oleh Raja Kida Hindi akan Raja Iskandar; maka setelah bertemulah segala rakyat antara kedua pihak itu, lalu berperanglah, terlalu ramai seperti yang dalam Hikayat Iskandar itu.

Maka alahlah (dikalahkan) Raja Kida Hindi itu oleh Raja Iskandar, ditangkap baginda dengan hidupnya Raja Kida Hindi itu; maka disuruhlah oleh Raja Iskandar membawa iman (masuk Islam), maka Raja Kida Hindi pun membawa imanlah dan jadi Islam, dalam agama Nabi Ibrahim Khalilu 'llah 'alaihi s-salam. Maka dipersalini oleh Raja Iskandar akan Raja Kida Hindi seperti pakaian dirinya; maka dititahkan oleh Raja Iskandar kembali ke negerinya.

  1. Raja Iskandar Zul-Karnain ialah seorang bangsa Rom dari negeri Makaduniah. Bapanya ialah Raja Darab.

  2. Keinginannya untuk melihat matahari terbit membawanya dengan bala tenteranya ke benua Hindi (India).

  3. Mereka diserang oleh Raja Kida Hindi. Namun mereka berjaya menewaskan Raja Kida Hindi dan menawannya hidup-hidup.

  4. Raja Iskandar Zul-Karnain mengislamkan Raja Kida Hindi dan membebaskannya semula untuk terus memerintah negeri Hindi.

  5. Raja Kida Hindi berasa kagum dengan keperibadian Raja Iskandar Zul-Karnain dan berpandangan dialah orang yang paling layak untuk menjadi suami kepada anak perempuan kesayangannya, Puteri Syahrul-Bariyah.

  6. Raja Kida Hindi mendapatkan bantuan Nabi Khidir dan akhirnya Nabi Khidir berjaya menjodohkan Raja Iskandar Zul-Karnain dengan Puteri Syahrul-Bariyah dengan mas kahwin sebanyak 300 ribu dinar emas.

  7. Setelah 10 hari meraikan perkahwinannya, Raja Iskandar Zul-Karnain meneruskan perjalanannya ke matahari hidup untuk melihat matahari terbit. Setelah selesai misinya, Raja Iskandar Zul-Karnain balik semula ke negeri Hindi.

  8. Raja Kida Hindi merayu kepada Raja Iskandar Zul-Karnain supaya membenarkan Puteri Syahrul-Bariyah untuk terus tinggal di negeri Hindi. Ini kerana dia tersangat sayang pada puterinya itu.

  9. Raja Iskandar Zul-Karnain menerima permintaan bapa mentuanya itu dan dia meneruskan perjalanannya tanpa membawa isterinya bersama. Raja Iskandar Zul-Karnain tidak pernah balik semula ke negeri Hindi selepas itu.

  10. Tidak berapa lama selepas Raja Iskandar Zul-Karnain meninggalkan negeri Hindi, Puteri Syahrul-Bariyah mengandung dan melahirkan Aristun Syah. Itulah satu-satunya zuriat Raja Iskandar Zul-Karnain di benua Hindi.

  11. Setelah kematian Raja Kida Hindi, keturunan Raja Iskandar Zulkarnain silih berganti memerintah negeri Hindi.

  12. Keturunan Raja Iskandar Zul-Karnain itu juga pernah muncul di Bukit Si Guntang di Sumatera, berpindah ke Temasik dan akhirnya membuka negeri di Melaka dan membangunkan Kesultanan Melayu Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan